Seakan berada di perkampungan Jepun sebenar tatkala menjejakkan kaki ke Japanese Village yang tersergam menghijau di puncak Bukit Tinggi, Pahang.
Bermula di ruang legar masuk lagi sudah terlihat tulisan huruf Jepun menyambut kunjungan orang ramai ke Rumah Teh Jepun yang dikatakan pertama di dunia wujud di hutan tropika.
Sambil menghidu bau tumbuhan segar menyusuri perkampungan jelmaan realistik negara matahari terbit itu di sepanjang laluan berbatu yang tersusun kemas, ia sudah memberi gambaran awal mengenai keunikan menanti setiap pengunjung.
Melewati pintu gerbang purba tidak jauh dari ruang legar, terlihat air terjun mini dengan deruan nyaman pasti menjadi tumpuan ramai untuk bergambar di situ.
Apalagi air terjun berkenaan turut diselangi kolam yang penuh dengan ikan koi pelbagai rona. Kawasan itu juga menjadi lokasi pengunjung menabur makanan buat ikan sambil merehatkan seketika kaki yang kepenatan berjalan.